Selasa, 28 Disember 2010

Sang Pemimpi

Setiap manusia di muka bumi ini pastinya memiliki satu impian atau tujuan. Boleh juga kalau di bilang sebagai cita-cita. Pokoknya ia mempunyai keterkaitan antara satu dengan yang lain justru menjurus kepada tujuan atau matlamat yang sama. Namun impian yang ingin dicapai, dikejar, dimiliki dan sebagainya kadang-kadang dapat kita miliki. Ada juga yang sebaliknya. Ini tergantung kepada usaha dan nasib seseorang itu. Jika keadaan sekelilingnya mengizinkan, dia mencapai matlamatnya, insyallah akan tercapailah. Jika tidak, perkara sebaliknya pula berlaku. Kunci asasnya adalah kesabaran dan usaha. Tidak kurang penting, doa.
Terkenang kembali ketika aku membaca sebuah novel karya Andrea Hirata yang berjudul Sang Pemimpi. Angan-angan serta impian ketiga anak muda yang bernama Arai, Ikal dan Jimbron akhirnya menjadi sebuah kenyataan. Memang kalau difikirkan kembali setakat ini atau sejauh ini, menilai sejauh mana pencapaian individu, termasuk diriku sendiri, memang sukar hendak dipercayai. Seolah-olah mustahil. Cepat sekali masa itu berlalu kan? Meninggalkan kita yang terlena.
Berbalik semula terkait ketiga-tiga wira Sang Pemimpi ini, untuk merealisasikan impian mereka untuk menjadi kenyataan, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mereka tempuhi. Sepanjang perjalanan cerita tersebut pun mereka mengalami berbagai rintangan yang tidak diduga oleh pembaca, ya aku juga termasuk. Tapi kecekalan hati mereka menghadapi semua ini, kemudiannya menjadi kenyataan. Usaha mereka terbayar apabila mimpi menjadi kenyataan. Ikal dan Arai Berjaya melanjutkan pengajian mereka di Eropah manakala Jimbron pula dengan kegemarannya. Seronok bukan? Bermimpi kemudian menjadi realiti. Apatah lagi jika ia dibukukan hingga menjadi sebuah cerita. Banyak perkara yang tercatat di dalamnya, pahit, manis, sedih dan gembira. Impian atau cita-cita akan tidak ke mana selagi kita berusaha kearah yang kita inginkan, sesukar manapun, kalau semangat kita kuat, kita akan memilikinya. Percayalah!
Bulan Disember kini tiba di penghujungnya, sudahkah menilai prestasi dan pencapaian dalam tahun 2010 ini? Kalau aku sendiri, aku tidak sanggup menilainya apatah lagi melihat prestasiku sendiri. Bagiku, pencapaian yang terbaik dalam tahun ini adalah berjaya bergelar sebagai pemegang BA. Satu pencapaian yang tidak akan aku lupakan walapun semakin hari semakin lama ku tinggalkan kenangan tersebut. Antara lain, hmmm… menjadi seorang tenaga pengajar yang sementara. Atau lebih tepat dikatakan sebagai Guru Pelatih. Walaupun hanya dalam masa 4 bulan, banyak perkara yang dapat aku pelajari daripadanya. Baik buruknya, peristiwa pahit dan manis, suka duka dan bermacam lagi. Hmm... mudah-mudahan bekas pelajarku akan sentiasa sukses, amin. Semua ini ku jadikan benteng dan pengajaran dalam hidup agar suatu hari nanti aku bisa melalui hari-hari mendatang sebagaimana yang telah dilalui. Banyak lagi kenangan yang terjadi dalam tahun 2010 ini, tadi hanya sebahagiannya. Kalau di ceritakan memang banyak. Cukuplah yang penting sahaja ayt. Tahun yang membawa seribu makna walaupun dalam setahun hanya 365 hari. Untuk mengingatinya semula tentang hari-hari yang telah dilalui, amat sukar sekali.
Menanam mimpi saat ahir tahun ini, mudah-mudahan tahun 2011 mendatang akan bisa ku gapai impian yang bermain difikiranku ini sebagaimana yang dilalui oleh ketiga-tiga wira dalam Novel Sang Pemimpi… bukan beerti baru sekarang memiliki cita-cita, bukan sama sekali. Maksudku ya, menambah-nambah mimpi mudah-mudahan tercapai. Sebagai misal, kalau menanam benih pokok dalam sepuluh pohon, yang tumbuh pasti jumlahnya tidak kurang dari lima pohon. Samalah halnya, kalau kita bermimpi dengan banyaknya, mustahil dalam apa yang dimimpikan itu tidak tercapai bukan? Dalam sepuluh, tercapai lima mimpi pun kita bisa senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan