Selasa, 28 Disember 2010

Sang Pemimpi

Setiap manusia di muka bumi ini pastinya memiliki satu impian atau tujuan. Boleh juga kalau di bilang sebagai cita-cita. Pokoknya ia mempunyai keterkaitan antara satu dengan yang lain justru menjurus kepada tujuan atau matlamat yang sama. Namun impian yang ingin dicapai, dikejar, dimiliki dan sebagainya kadang-kadang dapat kita miliki. Ada juga yang sebaliknya. Ini tergantung kepada usaha dan nasib seseorang itu. Jika keadaan sekelilingnya mengizinkan, dia mencapai matlamatnya, insyallah akan tercapailah. Jika tidak, perkara sebaliknya pula berlaku. Kunci asasnya adalah kesabaran dan usaha. Tidak kurang penting, doa.
Terkenang kembali ketika aku membaca sebuah novel karya Andrea Hirata yang berjudul Sang Pemimpi. Angan-angan serta impian ketiga anak muda yang bernama Arai, Ikal dan Jimbron akhirnya menjadi sebuah kenyataan. Memang kalau difikirkan kembali setakat ini atau sejauh ini, menilai sejauh mana pencapaian individu, termasuk diriku sendiri, memang sukar hendak dipercayai. Seolah-olah mustahil. Cepat sekali masa itu berlalu kan? Meninggalkan kita yang terlena.
Berbalik semula terkait ketiga-tiga wira Sang Pemimpi ini, untuk merealisasikan impian mereka untuk menjadi kenyataan, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mereka tempuhi. Sepanjang perjalanan cerita tersebut pun mereka mengalami berbagai rintangan yang tidak diduga oleh pembaca, ya aku juga termasuk. Tapi kecekalan hati mereka menghadapi semua ini, kemudiannya menjadi kenyataan. Usaha mereka terbayar apabila mimpi menjadi kenyataan. Ikal dan Arai Berjaya melanjutkan pengajian mereka di Eropah manakala Jimbron pula dengan kegemarannya. Seronok bukan? Bermimpi kemudian menjadi realiti. Apatah lagi jika ia dibukukan hingga menjadi sebuah cerita. Banyak perkara yang tercatat di dalamnya, pahit, manis, sedih dan gembira. Impian atau cita-cita akan tidak ke mana selagi kita berusaha kearah yang kita inginkan, sesukar manapun, kalau semangat kita kuat, kita akan memilikinya. Percayalah!
Bulan Disember kini tiba di penghujungnya, sudahkah menilai prestasi dan pencapaian dalam tahun 2010 ini? Kalau aku sendiri, aku tidak sanggup menilainya apatah lagi melihat prestasiku sendiri. Bagiku, pencapaian yang terbaik dalam tahun ini adalah berjaya bergelar sebagai pemegang BA. Satu pencapaian yang tidak akan aku lupakan walapun semakin hari semakin lama ku tinggalkan kenangan tersebut. Antara lain, hmmm… menjadi seorang tenaga pengajar yang sementara. Atau lebih tepat dikatakan sebagai Guru Pelatih. Walaupun hanya dalam masa 4 bulan, banyak perkara yang dapat aku pelajari daripadanya. Baik buruknya, peristiwa pahit dan manis, suka duka dan bermacam lagi. Hmm... mudah-mudahan bekas pelajarku akan sentiasa sukses, amin. Semua ini ku jadikan benteng dan pengajaran dalam hidup agar suatu hari nanti aku bisa melalui hari-hari mendatang sebagaimana yang telah dilalui. Banyak lagi kenangan yang terjadi dalam tahun 2010 ini, tadi hanya sebahagiannya. Kalau di ceritakan memang banyak. Cukuplah yang penting sahaja ayt. Tahun yang membawa seribu makna walaupun dalam setahun hanya 365 hari. Untuk mengingatinya semula tentang hari-hari yang telah dilalui, amat sukar sekali.
Menanam mimpi saat ahir tahun ini, mudah-mudahan tahun 2011 mendatang akan bisa ku gapai impian yang bermain difikiranku ini sebagaimana yang dilalui oleh ketiga-tiga wira dalam Novel Sang Pemimpi… bukan beerti baru sekarang memiliki cita-cita, bukan sama sekali. Maksudku ya, menambah-nambah mimpi mudah-mudahan tercapai. Sebagai misal, kalau menanam benih pokok dalam sepuluh pohon, yang tumbuh pasti jumlahnya tidak kurang dari lima pohon. Samalah halnya, kalau kita bermimpi dengan banyaknya, mustahil dalam apa yang dimimpikan itu tidak tercapai bukan? Dalam sepuluh, tercapai lima mimpi pun kita bisa senyum.

Rabu, 1 Disember 2010

Di Hujung Pentas…kian tiba

Di saat lewat sore ini suasana terasa aman tambahan pula hujan renyai-renyai. Bunyi rintik-rintik hujan yang tidak seberapa ini membuat aku mengelamun panjang. Samanya seperti seorang pujangga mencari ide untuk karyanya. Tapi, keberadaanku mendengar dan menatap bumi yang disirami hujan ini bukanlah mencari ilham. Sahaja bersantai dan menghirup udara yang nyaman dan segar. Berpikir tentang diriku dan tentang apa adanya. Sekali-sekala terdengar suara dentuman guruh dan kilat. Bunyi kicauan burung mengamankan lagi suasana. Hmm... kehidupan.
Minum secawan teh panas saat ini memang mengasyikkan. Terasa macam baharu hari ini merasakan ketenangan dari hari-hari yang sebelumnya. Entahlah, apa istimewanya hari ini. Mungkin kah hujan? Mungkin kerana hari ini hanya bersantai di rumah? Apa sahajalah pokoknya memang tiap-tiap hari pun memang di rumah. Tanggal 1Des hari ini merupakan sudah 6 bulan aku hanya setia menemani rumah yang membawa seribu makna dan kenangan. 2 bulan pasca konvo yang mengagumkan. Terasa aku sudah lama belum lagi mempunyai pekerjaan yang ditunggu-tunggu selama ini. Mungkin belum lagi tiba masanya atau mungkin aku disengajakan untuk menghabiskan sepenuh masaku hanya di rumah. Apapun alasan atau andaiannya, yang penting aku sudah bosan menunggu. Baik yang kerjah susah mahupun senang pun belum juga yang kena. Bulan Disember ini bulan untuk bercuti. Ramai yang menungu kedatangan bulan ini. apatah lagi kanak-kanak dan pelajar-pelajar sekolah. Dalam jangka masa cuti satu bulan ini merupakan peluang untuk ke luar negara bersama keluarga. Mesti mereka merasakan keseronokan. Tidak seperti aku. Tidak ada rencana ke mana-mana. Mohon aku juga nanti dapat merasakan keseronokan yang sama seperti apa yang mereka rasakan kini.
Bagiku menunggu pekerjaan ini Ibaratnya macam memancing ikan, dikait umpan elok-elok, di usai, di cantikkan lalu dilontarkan ke dalam sungai. Kemudian menunggu umpan dimakan ikan. Berapa lama menunggu kita tidak tahu, sampai kapan kita menunggu pun kita tidak tahu. Cuma tahunya berserah. Jikalau ada rezeki, umpan kita dimakan. Ikan besar atau ikan kecil tidak jadi masalah yang penting pancing kita mendapat ikan dan kail dimakan ikan. Yang dibenci apabila umpan tidak dijamah hingga kelihatan pucat, ada juga yang dipisi hingga umpan itu hanya meninggalkan kulit sahaja. Ya, ikan juga makhluk yang pintar sekarang. Dahulu mungkin tidak.
Tapi itu memancing. Kita tidak tahu apa yang berada di dalam air, apa yang ada dibawah sana. Bagaimana dunianya di bawah sana. Boleh saja kita andaikan sesebuah sungai itu tidak ada ikannya kalau kita dapat melihat ke dalam dunia sungai itu sendiri. Aneh bukan, manusia selalu sahaja ingin tahu sesuatu yang baru. Lupakan hal memancing. Soal memancing pun aku bukanlah seorang pemancing yang mempunyai rezeki yang baik. Kail jarang dimakan ikan. Mungkin juga belum ada rezekinya atau dikehendaki untuk sabar menanti.
Mudahan bulan Disember ini membawa banyak rezeki yang datang kepada ku. Mohon Tuhan mendengar sembah doaku padaNya, mohon diperkenankan doaku padanNya. Mohon keberkatan padaNya tambahan awal Muharam seminggu mendatang, moga aku ditambahkan lagi hidayah hijrah di tahun baru 1433 hijrah. Amin...

Kukang Mengganas

Kukang adalah binatang yang sangat pemalu. Tidak hairanlah jika sesetengah orang mengikut provinsi memangilnya sebagai malu-malu. Ini dikaitkan pula dengan sifatnya binatang ini. Rupa fizikalnya binatang ini berwarna kelabu, putih, kecoklatan, kehitaman yang dapat dilihat pada bulunya. Di bahagian punggungnya terdapat satu garisan coklat melintang dari belakang hingga dahi, kemudian bercabang ke bahagian telinga dan mata. Binatang ini biasanya bergerak lambat. Berdasarkan kepada sifatnya binatang ini dan kelakkuannya, tidak salah kalau dikatakan ia menyerupai seperti binatang yang disebut Kaola. Kaola juga pemalu dan juga bergerak lambat. Cuma yang menjadi perbezaan antara keduanya adalah penampilan mereka dari segi saiz, warna dan rupa mereka. Tetapi dalam hal ini perkara yang difokuskan adalah Kukang dan bukannya Kaola. Mungkin jika ada kesempatan, penulis akan mengisahkannya pula.
Di wilayah Nusantara ini, banyak jenis kukang yang dapat ditemui termasuklah; Nycticebus coucang, Nycticebus pygmaeus, Nycticebus bengalensis, Nycticebus javanicus, Nycticebus menagensis. Rata-ratanya sebaran komuniti kukang ini ditemui di kawasan Asia Tenggara memandangkan haiwan ini tinggal di kawasan hutan hujan tropika. Namun demikian, jumlah yang tepat belumlah dapat diketahui. Apa yang pasti, spesis binatang ini dikategorikan sebagai binatang yang terancam berikutan dengan berleluasanya pemburu haram menjejaki binatang ini untuk dijual dan mendatangkan keuntungan kepada mereka. Dari andaian ini maka lahirlah anggapan masyarakat bahawa kukang ini adalah binatang yang berstatus di hujung tanduk dalam ambang kepupusan. Antara lain binatang ini dijadikan bahan jualan secara haram. Dipercayai daging binatang ini dijadikan sebagai ubat dan pelbagai kegunaan lain yang dipercayai akan keberkesanannya. Hanya segelintir sahaja berminat menjadikan binatang ini sebagai binatang peliharaan (dahulu, tapi sekarang mungkin ramai).
Demikian tadi dikisahkan secara sepintas lalu tentang binatang yang bernama kukang. Cerita tentang kukang mengganas ini merista kembali sebuah kejadian yang pernah berlaku di suatu tempat yang kini berkembang pesat dalam menampung kemajuan pembangunan dan ekonomi sejagat. Namun bila ia berlaku tidaklah perlu untuk dinyatakan karana khalayak lebih suka mengetahui ceritanya berbanding bila dan di mana ia berlaku (mungkin ada juga sebahagiannya berminat namun tidak semua). Catatan ini dilafazkan secara lisan oleh orang-orang yang tertentu (orang yang berada di sana semasa kejadian ini) kepada penulis.
Bermula di suatu tempat pedalaman yang suasananya aman damai dan tenteram. Belum ada pun unsur-unsur pencemaran dan gejala pembangunan dijadualkan berlangsung di Kampung Seraput (bukan nama sebenar). Kampung yang hanya didiami oleh sekolompok kecil masyarakat peribumi ini hidupnya hanya bergantung kepada pendapatan hasil hutan berkat pencarian rezeki mereka untuk meneruskan kehidupan. Mereka mengambil umbut, terdapat juga buah-buahan yang tumbuh meliar di kawasan itu. Pendapatan rezeki mereka bertambah dengan pencarian dan penjualan hasil-hasil pencarian ubat-ubatan yang diperolehi dari hutan di sekitar mereka.
Anak-anak mereka ada yang sudah berpindah ke bandar atas sebab bersekolah, mencari pekerjaan dan ada pula yang menurut kehendak keluarga suami untuk membina hidup sendiri dan berpindah apabila sudah berkahwin. Apabila tiba musim-musim tertentu sahaja seperti hujung minggu, hari raya dan hari-hari kelepasan awam serta cuti persekolahan barulah suasana di kampung ini meriah dari yang sedianya. Pembangunan dari tahun ke tahun di kampung itu semakin berkembang. Ini dipengaruhi oleh keadaan di sekelilingnya yang sudah menerajui arus kemodenan. Sedikit sebanyak kampung Selaput ini juga tempias.
Di dalam kawasan kampung inilah juga wujudnya satu keindahan fauna apabila spesis kukang telah ditemui sejak sekian lama berumpun di hutan Kampung Seraput ini. Kehidupan mereka makin hari makin bertambah banyak. Malah tercatat dalam sejarah, spesis ini adalah spesis yang terbanyak di dalam negara itu berbanding di negara-negara lain dan hanya terdapat di kampung Seraput sahaja. Sejak tersebarnya berita ini melalui penduduk kampung yang mula menyedari akan keberadaan spesis ini di kampung itu, maka masyhurlah Kampung Seraput ini bukan hanya dalam negara malah di luar negara. Sehinggakan ada para pengkaji binatang, pakar biologi, pakar ilmu alam datang ke kampung ini bagi melihat dengan mata kasat mereka sendiri akan kebenarannya. Dengan kunjungan para pengkaji dari dalam mahupun luar negara, Kampung Seraput dibina tempat-tempat kediaman untuk penginapan pengkaji dan saintis oleh berbagai pihak sama ada dari pihak pemerintah dan pihak swasta. Ada desas-desus juga mnegatakan bahawa Kampung Seraput ini akan diwarnai dengan pembangunan perumahan, kedai dan kemudahan awam seperti pejabat-pejabat pemerintah atas tujuan mengejar pembangunan yang dimiliki oleh kampung lain. Tersebarnya berita ini, ramai yang memprotes. Namun ada juga yang bersetuju memandangkan kampung ini sudah jauh ketinggalan dari menerima pembangunan. Bagi pihak yang menyanggah, mereka berpendapat bahawa dengan pembangunan, maka spesis kukang ini akan mula terhapus memandangkan mereka sudah kehilangan tempat tinggal. Bagi pihak yang bersetuju, mereka tidak kisah dengan binatang kukang ini kerana jumlah populasinya sudah banyak, sewajarnya binatang ini dipindahkan sahaja sama ada di hutan ataupun dibina sebuah zoo. Kecohlah Kampung Seraput dengan masalah ini. Pencinta alam bertelagah dengan pejuang pembangunan. Orang kampung bercanggah pendapat dengan orang bandar. Setelah berlalunya beberapa bulan purnama, akhirnya pihak pemerintah memutuskan agar kampung Seraput ini dimajukan sebagaimana yang telah dilakukan di kampung-kampung yang lain. Sejak itu bermulalah Kampung Seraput dipimpin oleh seorang ketua yang dikenali secara kasarnya sebagai ketua Kampung Seraput.
Beralih pula dengan kehidupan populasi kukang yang menetap di kampung Seraput ini. kehidupan mereka aman damai. Tidak ada yang menganggu ketenteraman mereka. Maka bertambah banyaklah populasi mereka dari tahun ke tahun. Apabila jumlah mereka bertambah, mereka dikejutkan dengan kehadiran beberapa golongan manusia yang nampaknya mereka ini golongan cerdik pandai pergi menemui mereka. Pada mulanya mereka berfikir mereka ini penceroboh memandangkan dari penampilan mereka agak berbeza dengan penduduk kampung. Ini kerana penduduk kampung pada penglihatan mereka hanya berpakaian seadanya, lusuh dan seolah-olah kehidupan mereka daif sangat. Melihat kelakuan cerdik pandai yang selang hari-hari ada sahaja yang datang ini, baharulah mereka sedar bahawa yang datang ini adalah pencinta alam yang datang untuk membuat kajian tentang kukang dan menjenguk mereka. Mereka tidak akan menjangkakan ada pemburu kukang secara haram di kawasan itu. Kukang ini berpendapat tidak ada pemburu haram selama mereka menapak di sini. Mungkin disebabkan oleh aturan yang ditetapkan oleh pemerintah. Jika ada pun, mereka tidak akan ragu-ragu untuk membuat tindakan sama ada untuk menyerang mahupun sebaliknya. Ini sudah menjadi pinsip dalam setiap warga kukang iaitu ‘Buat Baik di Balas Baik’. Penduduk kampung pun tidak terlintas difikiran mereka untuk menangkap kukang-kukang ini untuk dijual dan dijadikan ubat jika perlu. Penduduk kampung juga sedar bahawa kukang ini tergolong dalam golongan binatang yang hampir pupus. Namun apa yang menjadi keraguan para pencinta alam mahupun para kukang setelah menyedari akan pengesahan projek kemajuan di kampung itu, kenapa pemindahan kukang itu di api-apikan oleh penduduk kampung agar mereka dapat menikmati kemajuan? Hilangkah sudah rasa simpati meteka tentang kukang yang hampir pupus ini? adakah mereka ini sudah lupa daratan dan siapa mereka sendiri apabila kemajuan pembangunan, wang dan kemudahan sudah tersedia di depan mata mereka? Lupakah mereka tentang sumber rezeki mereka yang bertarung hidup di dalam hutan?

Berita utama dan sensasi tentang pembangunan ini sampai kepada perkumpulan kukang. Bagi mereka ini satu ancaman yang perlu ditentang. Namun timbul pula persoalan bagaimanakah caranya menentang manusia yang melampau ini. jika mereka menentang pun ia akan mendatangkan risiko bukan sahaja kepada kehidupan mereka malah kepada tempat tinggal mereka. Kejadian ini membuatkan Ketua kehidupan Binatang Kukang membuat persidangan tergempar bersama dengan ahli serta penduduk kukang yang lain. Agenda yang pertama ditimbulkan di sini adalah benarkah Kampung Seraput akan dimajukan oleh pemerintah ataukah ia hanya sekadar khabar angin yang indah sahaja tapi menghampakan akhirnya? Pertanyaan dari pengerusi mesyuarat ini dijawab oleh warga kukang yang tertentu khususnya menyandang jawatan dalam bahagian kesejahteraan kukang. Menurutnya dia serta beberapa ekor anak buahnya telah menyelidiki kasus ini berdasarkan kepada pemantauan dan perisikan, memang sah Kampung Seraput akan dimajukan dalam beberapa masa yang terdekat. Kenyataan ini disokong oleh keluarga kukang yang lain kerana mereka turut juga menyaksikan beberapa orang yang tidak dikenali sedang membuat pemantauan terhadap Kampung Seraput. Perhimpunan kukang yang berjalan selama 1 jam setengah ini mengupas beberapa isu tentang warga mereka. Perundingan dilakukan secara sepakat antara ahli bagi menentukan hala tuju yang sesuai dan memenuhi kehendak masing-masing. Rata-rata mereka ini tetap akan memperjuangkan hak mereka jika mereka diganggu. Akhirnya kukang-kukang ini bersepakat mereka akan bertahan tinggal di kampung itu selama mana mereka tidak diganggu oleh manusia dari segi kesejahteraan, kehidupan seharian dan keamanan warga mereka. Sebaliknya jika perkara yang telah dipersetujui itu tidak dapat dipenuhi maka warga kukang ini akan mengambil tindakan. Antaranya mereka akan berhijrah ke satu lokasi baru. Beberapa ekor pasukan kukang telah diutuskan berhijrah untuk membuat kajian dan penyelidikan untuk penempatan mereka yang baharu.

Projek pembangunan mula dijalankan. Kemajuan kian berkembang pesat. Banyak bangunan-bangunan yang dibangun. Pembinaan masjid menjadi keutamaan dan didahulukan kerana selama ini penduduk kampung dahagakan masjid untuk beribadah terutama sekali sembahyang Jumaat. Sebelum ini mereka terpaksa mengayau ke kampung yang berdekatan untuk beribadat. Pembinaan pejabat seperti pejabat pos, pos polis dan juga balai bomba turut dibina. Pusat perniagaan juga dibina sama ada yang berbentuk runcit mahupun sebuah bangunan besar yang mampu menampung banyak ruang peniaga di dalamnya. Pasar untuk menjual ikan, daging dan sayur mayur juga dibangunkan. Populasi dan jumlah penduduk di kampung Seraput ini makin bertambah dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Rumah dibina dengan banyaknya berdasarkan kepada rancangan kemajuan yang telah ditetapkan dan menepati syarat pemerintah untuk menjadikan Kampung Seraput sebagai salah satu tempat penempatan dan pembinaan perumahan. Dengan usaha ini, Kampung Seraput sekelip mata sahaja dihuni oleh beratus malah beribu penduduk yang baharu. Memandangkan keluasan kampung ini juga besar dan luas. Para pencari dan yang tamakkan harta pasti memberikan perhatian terhadap kawasan ini. Peluang keuntungan yang berlipat ganda pasti tidak akan disia-siakan begitu saja.
Kehidupan Zainal (Bukan nama sebenar) dan keluarga jauh sekali berubah selepas Kampung Seraput dipilih sebagai kampung pilihan untuk dimajukan. Apa yang nampak ketara apabila dia dilantik menjadi ketua Kampung di kampung itu. Dahulunya dia menghabiskan masanya berkebun untuk mencari rezeki, sekarang dia sudah memiliki pejabatnya sendiri di rumah. Hari-hari melayani kerenah anak buah kampungnya. Hari-harinya menghadiri mesyuarat baik diperingkat kampung bersama anak buah malah di peringkat provinsi pun juga tidak ketinggalan. Apa yang mampu dibuatnya untuk menolak pelawaan warga kampung mencalonkan dia menjadi ketua kampung. Memandangkan dia warga yang sudah lama mendiami di kampung itu malah juga kuat pengaruhnya kepada masyarakat kampung. Selain dia, ada lah sedikit, tapi tidak ramai yang berminat. Sebelum pencalonan lagi, awal-awal sudah ada yang menolak bahkan ada yang langsung tidak mahu. Kata mereka bukan senang jadi ketua kampung ini, semua mestilah dikelinga. Mana aduan warga kampung, dan mana usaha ke arah memajukan kampung. Pilihan Zainal sebagai ketua kampung memang tepat kerana dia sendiri pun memang arif tentang selok belok kampung itu. Orang veteranlah katakan. Sekarang pun dia hidup senang walaupun hidupnya hanya dikurniai 3 orang anak yang kurang mendapat pendidikan setakat menengah sahaja, itupun terpaksa berjauhan dengan keluarga. Dia bersyukur kerana hidup anaknya tidaklah terbiar. Berkat kesabarannya membesarkan 3 orang anknya itu, yang sulung sudah bekerja dengan sektor swasta, yang nombor dua bekerja sebagai keranai dan yang bongsu membuat perniagaan kecil-kecilan, berjual sayur hasil tanaman ayahnya. Apabila Zainal menjadi ketua kampung, anaknya mengusahakan kebun ayahnya. Menurut ayahnya, jika perniagaan anaknya maju, kebun itu akan dibesarkannya. Selaras dengan kemajuan ekonomi katanya. Inilah masanya untuk menunjukkan kepada negara bahawa kampung ini pun boleh setanding dengan kampung-kampung yang lain. Janji seorang ketua, janji seorang petani dan janji seorang ayah kepada anaknya. Mungkin ini rancangannya untuk masa hadapan apabila dia sudah bersara menjadi ketua Kampung. Lagi pula umur Zainal ini sudah magrib.

Suatu petang Zainal dikunjungi oleh seorang warga kampung yang boleh dikatakan juga kuat pengaruhnya. Tapi tidaklah sekuat mana yang dimiliki oleh Zainal. Perjumpaan Husin (Nama samaran) petang Khamis itu membangkitkan isu pembinaan tempat bagi melindungi kukang-kukang yang ada di kampung itu. Maksud Husin itu membuat semacam zoo. Menurutnya tidaklah rugi jika mereka membuat zoo di kampung itu. Ala kadar sahaja. Pekerjanya cuma terdiri daripada anak-anak kampung yang tidak ada pekerjaan. Dengan ini katanya orang awam khusunya pelancong dapat berkunjung ke sana untuk meninjau dan melihat dengan lebih dekat kukang-kukang ini. Perbicaraan ini membuatkan Zainal rimas. Baginya apalah ada sangat dengan kukang-kukang itu. Binatang yang pemalu. Lagipula apa yang untungnya dengan binatang itu. Dalam mesyuarat juga telah dibangkitkan isu ini. ada yang mahu memindahkannya, ada yang mahu menjualnya kepada warga asing, malah ada yang mahu ia dibiarkan begitu sahaja. Pupuskah ia, tiada siapa yang tahu. Hanya Husin dan beberapa orang penduduk kampung yang mahu binatang ini dijaga. Rata-ratanya golongan belia. Mereka mahu binatang ini dijaga agar binatang ini juga dapat menikmati dunia ini sebagaimana manusia menikmatinya. Perjumpaan petang ini tidak membuahkan hasil. Zainal belum dapat membuatkan kata putus yang muktamad. Tapi di dalam fikirannya, dia tidak akan membuat apa-apa tindakan melainkan hanya membiarkan binatang itu tinggal di dalam hutan secara liar. Walaupun pada masa lalu, kukang-kukang ini menarik perhatian ramai pengkaji-pengkaji binatang dan yang sewaktu dengannya berkunjung melawat mereka. Datang jauh-jauh bukannya apa, hendak melihat kukang. Masyarakat kampung pula dipinggirkan. Tidak berapa dihiraukan sangat. Bagi Husin inilah kali terakhir dia berbincang dengan Zainal. Selepas ini dia tidak akan masuk campur lagi urusan tentang kukang ini melalui Zainal. Dia dan beberapa rakan belianya akan membuat cadangan ini kepada pihak yang tertentu bagi menyokong pendapatnya. Baginya Zainal hanya orang tengah sahaja. Umpama boneka. Dibaringkan, maka berbaringlah ia selamanya selagi ia tidak di bangunkan semula. Anggapan Husin kepada Zainal mungkin Zainal ini terlalu bangga dengan tugasnya sekarang sehinggakan perbuatan amal kebajikan dan kesejahteraan pun dia tidak dapat berfikir dengan baik. Hanya mementingkan pulangan yang mendatangkan manfaat buat dirinya sendiri.
Ketua Kukang mengadakan perkumpulan bagi semua kukang-kukang yang berpenghuni di kampung seraput. Perkumpulan kali ini membincangkan tindakan susulan setelah beberapa masa lalu kemajuan telah mengambil tempat di kampung itu. Perjumpaan pada hari itu nampaknya serius berikutan beberapa perkara yang telah berlaku di kampung itu tambahan pula beberapa kes yang melibatkan antara penduduk kampung serta yang mendatang dengan kukang. Beberapa ekor kukang telah membangkitkan beberapa kes yang boleh dianggap sebagai satu pencabulan khususnya bagi warga kukang. Perkara yang pertama diungkit adalah pembakaran hutan yang dilakukan oleh penduduk kampung. Kebanyakkan rumah kukang, pokok-pokok turut terkorban selepas pembakaran yang tidak bertanggungjawab itu. Akibat kebakaran ini beberapa ekor warga kukang juga turut terkorban. Mereka terdiri daripada warga emas kukang yang tidak larat lagi berjalan, hanya menunggu hari untuk pergi sahaja. Tapi malang, pergi mereka dengan cara yanag kejam dan tidak bermoral. Apa yang mendukacitakan lagi, pembakaran yang disenghajakan itu hanya dibiarkan sehingga ia pajah sendiri tanpa ada yang memadamkannya baik dari warga kampung mahupun daripada pihak yang berwajib. Menurut kukang yang membahaskan hal tersebut, ada diperuntukkan undang-undang bagi mereka yang melakukan pembakaran secara terbuka, mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan denda. Namun menurutnya, perkara ini tidak diambil tindakan.
Perkara berikutnya tentang pengambilan anak-anak kukang yang semakin menjadi-jadi. Warga setempat mengambil kesempatan untuk mengambil anak-anak kukang dengan tujuan untuk memelihaharanya. Malah ada yang sanggup menjualnya dengan harga yang mahal. Sebilangannya dibeli oleh zoo dari luar negara. Harga yang ditawarkan pula begitu lumayan. Jika perkara ini berlanjutan, ke mana perginya generasi kukang ini pada masa mendatang? Tidakkah akan ada ketandusan antara pewaris kukang. Perkara ini disuarakan oleh ibu-ibu kukang yang sedih. Mereka kehilangan putera dan puteri kesayangan mereka. Mereka dipisahkan tanpa ada sebab. Binatang sendiri lagikan sedih dan tidak mahu dipisahkan antara ibu dan anak, apatah lagi manusia yang mempunyai akal dan fikiran? Tidak cukup anak kukang, manusia juga mengambil kukang jantan dan kukang betina. Nyata dari penculikan ini mengurangkan jumlah warga kukang di Kampung Seraput. Kukang akan pupus!
Pada perjumpaan itu juga ditimbulkan tentang pembuangan sampah yang merata-rata tempat terutama sekali dikawasan rumah yang berdekatan dengan hutan. Warga kukang mendakwa perkara ini boleh mendatang kesulitan bagi mereka. Alasannya, sejak mulanya pembangunan, jumlah binatang anjing semakin bertambah berikutan kontraktor bangunan yang membina rumah, pejabat dan sebagainya. Sudut pandangan ini begitu sinonim, ada kontraktor yang membina bangunan, maka di sanalah ada anjing. Macam lalat, ada bangkai adalah ia. Anjing ini seolah-olah dibiarkan sahaja. Terjadilah peristiwa anjing yang mencuri dan merobek sampah, anjing yang dipijak kereta masak di atas asphalt (akibat merayau dijalan raya) hingga melahirkan bau yang kurang selesa, anjing melolong, anjing berkelahi, najis anjing, najis berat dan sebagainya. Kehadiran anjing ini membuatkan kukang takut untuk keluar dari kediaman mereka terutama sekali ketika hendak mencari makan. Dari sampah juga lahirlah bau-bau yang tidak disenangi dan menjijikkan. Langau berterbangan, ulat menari-nari, anjing tersenyum girang kerana sampah, melalui ini boleh mendatangkan penyakit buat warga kukang malah warga kampung juga. Tidakkah terlintas difikiran penduduk kampung?
Perbahasan yang hangat pada hari itu membuatkan warga kukang menjadi tidak tahan iman. Mereka seolah-oleh telah dianiaya oleh manusia. Mereka mesti membuat tindakan untuk memberhentikan semua ini. mereka mesti berpindah. Mereka mesti berhijrah ke suatu tempat yang lebih aman dan damai. Tempat Seraput ini sudah tidak sesuai lagi dengan mereka. Seraput sudah berubah. Seraput sudah menjadi syurga berduri. Seraput kini syurga bagi ketamakan dan kerakusan manusia. Kukang mesti membuat sesuatu. Ya, membuat sesuatu. Kukang mesti berani. Untuk perjuangan kukang di dunia kepupusan. Hari itu juga mereka bertindak. Kukang berani mati untuk memperjuangkan hak mereka.
Pada satu tarikh yang tidak pasti bila ia telah berlaku, warga kampung gempar apabila melihat sekolah kerajaan yang dibina kini dalam keadaan tidak stabil dan tidak selamat. Panggilan kecemasan telah dibuat. Ramai yang bergegas ke sana. Selepas matahari terbenam sebuah sekolah telah binasa. Jendela habis dipecahkan. Serpihan kaca bertaburan di lantai dan membahayakan. Keadaan di dalam kelas tidak lagi tersusun. Meja dan kerusi habis dirosakkan. Ada juga yang dibakar sehinggakan ruang kelas yang lain juga turut terbakar. Tanam-tanaman dicabut dari pasunya. Yang tinggal hanya tanah. Itu pun nasib baik, ada pasu yang dipecahkan, ada yang dilontarkan ke cermin. Sampah habis disepahkan. Pejabat guru-guru pula dijadikan tempat pembuangan najis. Najis apa seorang pun tidak tahu. Bilik pengetua tidak juga ketinggalan. Segala dokumen di koyakkan. Perpustakaan dibakar, semua buku-buku hangus. Pondok yang menempatkan pengawal keselamatan juga tidak dapat diselamatkan. Pondok inilah yang pertama sekali dimusnahkan. Dilontar dengan tong cat yang berwarna merah. Kebetulan semasa serangan, pengawal keselamatan tidak ada kerana pulang ke rumah secara rahsia. Perkara ini tidak disedari oleh pihak sekolah sehingga berlakunya kemusnahan ini. Rata-rata sekolah Menengah Seraput dalam keadaan darurat dan terpaksa ditutup. Angkara siapakah ini masih dalam siasatan. Tiada siapa yang mengetahui dalangnya dan mengapa puncanya. Hanya yang menjadi kenangan dan tanda misteri ialah tapak-tapak kaki yang tidak diketahui bendanya. Pihak berkuasa berusaha menyiasat perkara ini.
Selang sehari selepas itu sebuah kedai telah diserang. Kedai koperasi milik warga kampung dibakar. Peristiwa ini terjadi pada waktu malam. Tidak ada benda pun yang terselamat dalam kejadian kebakaran ini. apa yang hanya dapat disaksikan dan dapat diambil adalah lembaran gambar dan peristiwa yang diterangi oleh cahaya merahnya api seolah-olah menandakan kemarahannya. Linangan airmata membasahi lantai bumi kampung Seraput. Riuh-rendah warga kampung menolong pihak pemadam api untuk memadam kebakaran. Api yang membara meyuluh suasana yang kelam kabut itu. Setelah api berjaya dipadam, apa yang tinggal hanyalah kayu-kayu yang tidak habis terbakar. Seorang pekerja pemadam api menjumpai sekeping kertas yang diselitkan di papan tanda koperasi tidak jauh dari simpang masuk yang tertulis ‘KAMI INGINKAN KEBAHAGIAAN’. Bahan bukti telah ditemui tetapi masih dalam pertanyaan, siapakah yang melakukan ini? siapa ‘kami’ ?Pihak berkuasa bekerja terlebih masa dalam menjalankan siasatan ini. Ada yang mengeluh tidak tahan bekerja terlebih masa kerana sudah biasa dan terbiasa bekerja secara office hours.
Kukang Mengganas! Kukang Mengganas! Kedengaran suara seorang warga kampung yang menuju ke Pos Polis kampung Seraput. Ternyata suara itu ialah Zainal. Dia berlari dan membuat laporan kepada pihak Polis. Menurutnya kukang telah merosakkan kebunnya dan rumahnya hadis dimusnahkan oleh kukang. Mulanya pihak Polis senyum kambing apabila mendengar huaraian Zainal ini. Tapi selang beberapa minit, senyuman itu langsung senyap melahirkan muka yang serius apabila ada warga lagi yang datang mengadu hal yang sama. Ternyata rumah yang berdekatan dengan Zainal juga menjadi mangsa unjuk rasa kukang yang tidak dapat dikawal. Menurutnya rumahnya dimasuki oleh berpuluh ekor kukang lalu memusnahkan apa yang ada didalam rumahnya. Mujurlah ketika itu dia hanya berseorangan. Jika tidak, entah apakan terjadi dengan isteri dan anaknya. Nasib warga itu sama dengan Zainal. Ahli keluarganya tidak ada di rumah kerana sedang makan angin ke luar negara. Hanya dia yang tidak mahu ikut kerana terlalu sibuk dengan urusan dan peranannya di kampung itu. Pihak Polis dan pihak berkuasa yang lainnya bergegas ke tempat kejadian. Namun sudah terlambat. Banyak rumah sudah menjadi korban kemusnahan oleh amukan kukang. Kini kukang itu sudah tidak lagi ada. Entah hilang ke mana. Sekelip mata sahaja mereka membinasakan semua. Hanya meninggalkan bekas sahaja. Baharulah mereka tahu, peristiwa membakar sekolah dan pembakaran kedai operasi adalah angkara kukang yang menjadi penghuni tetap di kampung itu. Tetapi mereka tidak faham mengapa ini boleh terjadi. Pada hari itu juga mereka mengadakan perkumpulan bersama agensi berkuasa serta warga kampung untuk membuat rancangan stategik untuk menangani masalah itu. Mereka memilih jalan untuk menangkap semua kukang-kukang itu dan memindahkan mereka ke tempat yang sesuai. Jika mereka mendapati ada kukang yang bertindak secara melawan, mereka tidak akan ragu-ragu untuk menembaknya. Bukan menembak dengan menggunakan peluru ubat pelali, tetapi dengan menggunakan peluru hidup. Husin membantah usul itu. Baginya membunuh bukanlah satu jalan penyelesaian. Ambil sahaja cara untuk memindahkannya tanpa mencederakan sesiapa pun. Panggil pakar haiwan dan biarkan mereka menjalankan tugas mereka untuk menangkap binatang itu. Kenapa harus susah-susah menggunakan senapang sedangkan binatang-binatang itu tidak ada pun menggunakan senjata. Pendapat Husin ini ditentang sepenuhnya oleh penduduk kampung. Penduduk kampung mahu membalas dendam terhadap kukang. Mereka mashu membunuhnya. Ada juga yang sudah membuat hajat untuk menangkap kukang itu dan menjualnya dengan harga yang mahal bagi menanggung ganti rugi harta benda mereka yang musnah. Disebabkan Husin tidak berseorangan, dia ditemani oleh rakan-rakannya yang memujuk warga kampung dengan cara yang diusulkan oleh Husin, warga bersepakat untuk menurut cara yang dikemukanan oleh Husin.
Proses evakuasi kukang-kukang di kampung tersebut segera dimulai. Setelah semua warga kampung bersepakat, mereka tidak mahu menunggu lama. Ditakuti nanti akan ada kukang yang mengganas dengan merosakkan harta benda kampung dan menggugat keselamatan di kampung itu. Mujurlah pada ketika itu tidak ada warga asing yang melawat ke sana, jika ada mungkin sedikit sebanyak akan memburukka lagi suasana (pada dasarnya). Untuk evakuasi ini, warga kampung telah mendatangkan seorang pakar haiwan dari Australia yang bernama Johnny (nama samaran). Orang ini pakar dalam haiwan. Sebut sahaja apa, buaya, beruang, dugong, ular, gajah, babi hutan, harimau, anjing liar dan sebagainya. Memang lumrah hidupnya melihat binatang-binatang liar dan buas. Tidak lengkap dan kempunan rasanya jika dia tidak menyentuh dan berkomunikasi dengan binatang yang dijumpainya. Meskipun binatang itu sekecil semut. Makanya atas sebab inilah dia di panggil oleh warga kampung atas dana pemerintah. Tujuanya nanti dia akan berunding empat mata dengan ketua kukang atau kukang-kukang yang ada di kampung tersebut. Dengan cara ini mampu mengelakkan kukang daripada mengamuk. Tapi mengapa mereka menyuruh orang asing jika hendak membuat rundingan damai? Adakah ini rundingan damai atau rundingan evakuasi?
Dipendekkan cerita kerana terlampau banyak isu yang dibangkitkan setelah kedatangan Mat Saleh ini di kampung itu, selepas mendengar taklimat yang disampaikan oleh warga kampung dan pihak-pihak yang tertentu, baharulah Johnny faham mengapa berlakunya perkara ini kepada warga kampung dari warga kukang. Secara psikologinya menurut Johnnya kukang-kukang ini merasa terancam berikutan dengan suasana kampung seraput yang tidak seharmoni dahulu. Berdasarkan kepada penjelasan Johnny kepada penduduk kampung, mereka seolah-olah malah seakan-akan tidak percaya binatang ini sanggup membuat demikian. Johnny tidak mahu menjelaskan dengan panjang lebar, pokonya dia mahu segera bejumpa dengan kukang-kukang itu untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Baginya inilah tugas yang belum pernah dia jalani selama mana dia melayani berbagai ragam binantang sama ada di darat atau di laut, kecuali di udara.
Johnny diringi dengan warga kampung, pihak penguasa yang berkenaan dan tidak juga dilupakan warga media, reporter dari luar dan dalam negara turut menemaninya pergi ke hutan. Setibanya di luar kawasan hutan, Johnnya menasihatkan agar yang lain hanya menunggunya di luar, membiarkan dia sahaja yang masuk ke dalam hutan. Warga yang lain serta yang sewaktu dengannya akur dengan permintaan ini. Lantas Mat Saleh ini maju ke dalam hutan tanpa berbekalkan apa-apa seperti senjata dan sebagainya untuk mempertahankan dirinya. Hanya yang ada padanya baju dan seluar untuk menutup auratnya. Masuk ke dalam, mencari dan mencari, mengkaji, mencium bau-bau peninggalan kukang, meninjau perkarangan kediaman kukang, habis semuanya di periksa. Terus-dan terus ...
Kukang mengganas! Kukang mengganas! Masih kedengaran jelas teriakan warga kampung pasca amukan kukang-kukang menyerang rumah Zainal dan beberapa buah rumah warga. Masih tergambar jelas seperti baru terjadi beberepa saat di mata Ramon. Itulah peristiwa yang tidak dapat dilupakannya selama dia menerajui pimpinan sebagai ketua kukang di Kampung Seraput. Kini hanya tinggal nama. Tidak lagi ada kukang di kampung Seraput, tidak lagi ada akan perasaannya buat kampung Seraput yang kini di mamah oleh anai-anai gergasi. Jauh dan kian menjauh dia bersama warganya menuju ke provinsi lain yang belum pernah dijejaki manusia dan tidak akan pernaha terfikir oleh manusia untuk dicerobohi. Membina satu rumpun keluarga dan kaum yang besar tanpa ada yang mengetahuinya.
Menurut penceritanya yang ditemui penulis, kini kampung Seraput sudah dijadikan sebuah bandar kecil di negeri itu. Mungkin akan bertambah dalam masa yang akan datang berikutan perkembangan teknologi moden. Tidak lagi ada hutan ditempat itu. Hutan dijadikan taman kecil sahaja. Rumah Zainal kini semakin besar kerana di perbesarkan oleh anaknya setelah ayahnya kembali menemui Tuhan. Pencerita yang mahu identitinya ini dirahsiakan menyatakan sehingga sekarang dia sendiri pun tidak tahu ke mana perginya kukang tersebut dan apabila di kakas kembali cerita ini tidak ramai yang tahu. (pencerita ini pun sudah pindah ke tempat yang baru kerana terpikat dengan arus kemodenan) Ada warga Kampung Seraput menganggapnya sebagai satu kisah benar dan ada yang menganggapnya sebagai cerita mitos.

*** TAMAT ***