Jumaat, 11 November 2011

Monolog 'Yang Terlupakan'

Sejenak ketika berjalan-jalan di sebuah pekan yang mengajarku erti kehidupan yang sebenarnya, mengajak dan diajak bernafas bersama-sama, bermain dengan alunan tiupan angin, berpijak manja dengan bumi yang berkah, mendongak ke langit putih dengan hiasan awan-gemawan pelbagai bentuk rupa, mengingatkan kembali perjalanan hidup yang awal, merupakan sesuatu yang tidak mudah dilupakan. Jika dahulu aku hanya mampu berjalan dengan berpimpin tangan bersama orang tua yang sememangnya menjadi pedamping walau ke mana sahaja. Meninjau-ninjau kiri dan kanan tanpa memahami erti sebenarnya kehidupan, erti sebenarnya keseronokkan, keadilan, kebahagiaan dan kesenangan. Sekarang aku bisa melakukannya sendiri tanpa ada sokongan sesiapa. Kesemuanya tidak mudah untuk difahami, tidak pula mudah untuk dimengerti. Ibaratnya seorang pujangga mendengar kicauan burung berterbangan dengan bunyi-bunyi yang sayu dan merdu. Pada pendengar, tetapi bagi makna seekor burung mungkin membawa makna yang berbeza.

Namun sekarang sudah jauh berubah. Kenangan yang lama kini sudah menjadi satu lembaran kenangan sebuah album. Akan sentiasa dikenang dan dikenang. Mengingat kembali peristiwa lalu membuatkan diriku tersenyum. Setiap langkah demi langkah, membuka setiap lembaran kenangan yang lepas. Setiap hembusan nafasku adalah nafasku yang kekal dari dahulu. Malah setiap bangunan yang berdiri menjadi saksi akan keberadaanku dahulu, sewaktu umurku masih diperingkat rebung lagi. Jika ia bisa berbicara, akan ku ajak ia berdialog denganku. Bercerita tentang perjalananya selama ini, rahsia bertahanya sampai kini, sampai ke hari ini. akan ku kisahkan kepadanya riwayat perjalananku sewaktu aku pergi meninggalkannya dan kembali semula pada hari ini.

Satu perjalannan yang panjang, bagi sesetangah orang, mungkin satu kenangan itu jika memberikan satu ingatan yang mendalam, mungkin peristiwa tersebut dilupakan begitu sahaja, mungkin bagi mereka tidak ada apa yang penting. Namun perlu diingat bahwa setiap yang berlaku itu memberikan satu kenangan walau hanya sekadar perkara yang kecil. Mengapa? Kerana perkara yang terjadi pada hari ini tidak akan terjadi besok atau lusa. Ia boleh terjadi tetapi tidak sama berlakunya seperti yang terjadi hari ini. Itulah hakikatnya. Tetapi manusia alpa. Mudah lupa diri dan mudah terlena, hanyut dibuai dengan gaya hidup yang senang. Mereka lupa sebelum senang hadirnya susah. Dari susah lahirnya senang. Benarlah peribahasa Melayu seperti kacang lupakan kulit.

Disaat yang sama, agak terkilan dengan mereka yang kurang mampu dalam menjalani kehidupan seharian, mereka yang uzur tetapi tabah menjalani hidup. Rasanya bukan ini kali pertama aku melihatnya. Mungkin sudah berulang kali. Cuma dalam satu citra yang berbeza. Dari sudut pandang yang berbeza. Mereka ini adalah orang yang aku kagumi dan bangga. Kerana mereka tetap bersemangat dan tabah dalam menjalani kehidupan seharian walau susah, mereka sentiasa berusaha. Mereka tidak menunggu hasil datang sendiri ditangan mereka, meminta pada yang ada, meminta pada yang sudi memberi. Tapi mereka yang babasah berkaring walau kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. bagi mereka kesusahan bukanlah kesudahan, bahkan ia satu semangat.
Cuma orang masa kini, bila sudah senang, tidak lupa akan kesusahan yang lama. Beranggapan bahawa kesenangan adalah kesudahan bagi kesusahan. Sebab itulah apabila sudah mula melonjak naik, mereka mendongak ke langit selamanya. Mereka bangga mengatakan, “aku sudah senang,” hidupku tidak lagi susah seperti dahulu, semua yang aku inginkan, bisa ku dapatkan dengan sekelip mata sahaja.

Usah menitiskan air mata, usah menumpang sedih, usah berduka atas kesedihan orang lain. Cerminlah kehidupan masing-masing. Muhasabah diri, menilai diri sebaik-baiknya. Ada kalanya seseorang itu merang angkuh akan sesuatu, sifat tidak malu kalah terhadap orang lain. Suatu masa pasti akan merasa siapa dirinya sebenarnya. Mereka mempunyai jalan hidup masing-masing. Mereka ada haluan mereka sendiri. Biarkan mereka mengikut arus yang telah ditetapkan. Terpulang samada mahu meneruskan atau beralih haluan dirasakan benar dan sesuai. Bagi yang merasakan kesenangan, syukurilah apa adanya, nikmatilah apa yang ada dan janganlah disisa-siakan. Bagi mereka yang dibawa senag, jangan mudah berputus asa. Teruskan usaha untuk mencapai matlamat dalam hidup. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang datang melayang. Jangan mudah melupakan sesuatu yang terlupakan.

AZ
Jumat 11/11/2011 jam 1700