Alhamdulillah, setelah sebulan menempuh bulan bulan Ramdhan, seluruh umat Islam menyambut ketibaan bulan Syawal setelah menunaikan kewajiban ibadah puasa selama satu bulan. Tidak terlewatkan rasanya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1432 Hijrah kepada semua umat Islam.
Sebut sahaja tentang Hari Raya Aidilfitri ini, atau Hari Lebaran, atau Idul Fitri ini, ramai yang suka, ramai yang menanti kedatangannya setiap tahun. Bagi kanak-kanak, inilah waktunya bagi mereka bersuka ria mengunjungi rumah saudara mara, teman-teman, jiran tetangga dan sebagainya. Aku masih teringat saat diriku dalam lingkungan usia 8 ke 11 tahun, ketika igtu masih lagi menuntut di sekolah rendah dan hendak beralih ke peringkat menengah, hari raya merupakan peluang untuk berkunjung ke rumah-rumah di sekitar kampungku. Berhari raya bukannya dengan berjalan kaki, tapi menggunakan sepeda secara beramai. Taklah sampai 10 buah, sekitar 5 buah sepeda. Ada pula sebuah sepeda membawa 2 penumpang. Ada juga yang berseorangan menaiki sepeda. apa yang menariknya, kami pergi beraya tidak dengan cara berjanji, tapi dengan secara ‘mengejut’. Maksudnya, teman-teman ku yang lain mengunjungi rumah ku untuk beraya dan pada saat itu juga aku dibawa untuk beraya. Pada masa itu aku belum punya sepeda, atas kemurahan hati mereka, mereka membawaku dengan menumpang sepeda mereka. Aku tidak keberatan menolak pelawaan mereka kerana inilah masanya bersama mereka, memeriahkan lagi suasana hari raya pada ketika itu. Lagi pula mereka jauh-jauh datang dari kampung sebelah, datang ke kampungku semata-mata untuk beraya. Mereka menaruh nyawa mereka, mengapa aku berkata demikian, kerana sebelum mereka datang ke kampungku, bukan setakat mereka mengayuh sepeda jarak yang jauh, malah mereka terpaksa menyeberangi jalan raya utama yang menjadi nadi kepada aliran kenderaan di negara ini... namun syukur, pada masa itu jumlah kenderaan tidaklah banyak seperti sekarang... sekarang, jangankan hendak menyeberang, keluar simpang dengan menggunakan kereta pun susah... terlalu banyak kereta...
Bermula pada waktu pagi hinggalah ke waktu petang, lebih dari belasan buah rumah yang dikunjungi dan yang saat yang tidak dapat dilupakan adalah menerima duit raya... alhamdulillah, mungkin rezeki pada waktu itu berpihak kepada kami... duit raya yang diperolehi sedikit sebanyak dijadikan perbelanjaan persekolahan. Tapi lain pula bagi diriku, duit raya yang diperolehi, aku simpan sehingga bertahun-tahun...
Kenangan sewaktu kanak-kanak dahulu saat Aidilfitri begitu indah sekali dan masih lagi dalam ingatan dan kerinduan. Sekarang, sambutan Aidilfitri tidaklah semeriah zaman kanak-kanak dahulu. Sekarang pun tidak lagi ramai kanak-kanak yang bekunjung ke rumah-rumah. Mungkin disebabkan oleh peredaran masa. Ibu bapa pun tidak mahu membiarkan anak mereka berjalan bersama teman-teman, apatah lagi pada usia kanak-kanak.
Sekarang, hampir dua minggu kita menempuh suasana Aidilfitri, dan kehangatannya masih lagi terasa. Tambahan waktu hujung minggu dipenuhi dengan jemputan ‘Rumah Terbuka’ yang sekarang sudah popular dikalangan masyarakat di negara ini. emm...memang benar, peredaran zaman. Sambutan yang biasa dan tradisional dahulu di ubah sejajar dengan peredaran masa sekarang. Mungkin pada masa akan datang, kemeriahan akan dapat di rasakan pada bulan Ramadhan berbanding pada bulan Syawal...
10 September 2011 jam 2020