Isnin, 29 November 2010

Tamatnya Perjalanan Seorang Graduan

Sahaya petik daun-daun ilmu di segenap lapisan dahan pepohon mekar
Sahaya kutip ranting-ranting rujukan di sekitar kawasan tandus membara
Sahaya himpun debu-debu kayu buat menyalakan api dikala malam menjelang
Sahaya bakar kertas agar debu-debu tadi menjadi sebuah unggunan api
Akhirnya tidak mengharapkan sebatang lilin yang membakar dirinya sepanjang malam

Sahaya berjalan dalam mencari jejak dalam seorang ilmuan
Meredah segenap pelusuk kota metropolitan
Merantau jauh dari kampung halaman
Mencari akan adanya lagi daun-daun ilmu dan ranting-ranting rapuh buat harapan
Menjanji satu penyelesaian dalam merungkai masalah masa depan

Kini perjalanan sudah berhenti
Untuk apakah dedaun ilmu yang ku timba selama ini
Berkarung ranting-ranting rapuh buat nyalaan masa hadapan
Tidak ada yang membelinya buat bahan bakar
Tidak ada yang ingin menyulam dedaun ilmu yang sahaya miliki ini
Setelah sekian lama berkorban mencarinya
Buat titipan masyarakat
Kemudian menganggapnya tidak berguna

Mencari dan terus mencari hingga sampai ke hujung jalan
Sehingga sahaya tahu
Ertinya seorang graduan yang hanya berpaut didahan reput
Bernafas di ruang udara yang terhad dari nafasnya seorang insan jalanan
Merencanakan sesuatu disaat santapan masih lagi berlegar di ruang udara
Mentertawakan pemangsa yang berada di bawah dengan bongkaknya
Menyulam kata-kata di dalam hati seorang graduan
Kalaulah begini akhirnya
Tidaklah sahaya merantau jauh
Mengutip dedaun ilmu yang membebankan diri
Saat akhirnya tiada yang berguna apatah lagi mencicip
Hanyut dalam arus kehidupan
Kecundanglah sahaya bernama graduan
Menyendiri dengan dedaun dan ranting yang ada
Buat bekalan saat tidur lenanya sepanjang masa.

Memori kembali ke senja...

Hari ini, berlalu lagi sebuah kenangan yang pastinya akan melakarkan seribu kenangan dan peristiwa, tersimpan dalam jiwa yang lara. terasa masa cepat berlalu tanpa disedari. Meninggalkan jiwa raga yang hampir jauh dibelakang. apa yang bisa dilakukan melainkan hanya meneliti dan menjalani hari-hari yang suram. Ada kalanya berbau ceria, adakalannya berbau duka. Hanya melukis segala kenangan dalam sebuah kertas pun belum tentu cukup jika tidak diamati perjalannya. 

Kawan, biarpun hari ini menjangkau senja, masih ada besok sinar suria. kawan, biarpun masa kembali beredar seperti adanya, namun takkan sama seperti sediakala.